Jumpa Uthman di Bangi


Aku berjumpa Uthman di Bangi Foodcourt. Aku tak tahu lah kenapa sangat Uthman suka memilih tempat ini untuk kami bersembang.

Walhal kalau bersembang lebih beberapa jam. Tempat ini pula tutupnya 11 malam.

Aku layan sahajalah.

Aku bersalaman sebaik masuk ke Kanayan Kafe.

Uthman tunjuk di meja sebelah. Katanya ikhwah. Aku semacam kenal muka ikhwah ini di Facebook. Ah, aku tak ingat tapi aku cam antara orang yang agar terkenal dan ilmuan.

Aku iyakan sahaja seakan aku kenal sambil bersalaman bersama ikhwah dan keluarganya itu.

Aku melihat menu yang ada. Tak berkenan. Lalu Uthman mengajak pergi ke medan selera di luar kafe ini.

Di atas meja aku nampak buku yang kulitnya gambar kaabah. Mungkin Uthman bawa untuk dibaca sambil menunggu aku. Atau mungkin dibawa untuk dibicarakan bersama.

Selepas selesai membeli makanan dan Uthman membeli air, kami duduk di meja yang kurang orang di sekeliling. Kami bersembang tentang penulisan.

“Kamu kenal tak SM Zakir?” tanya Uthman sambil tangan ralit memegang buku tadi.

Aku mengangguk. Diikutkan aku memang kenal sangat SM Zakir itu. Seorang penulis yang bagi aku sangat bagus penulisannya. Banyak inspirasi penulisan cerpen aku dapat daripada tulisan beliau.

Uthman bercerita tentang bagaimana dia ke kedai SM Zakir di Bandar Baru Bangi ini. Hampir semua rak dipenuhi oleh buku penulis.

“Ketika aku datang, tiada SM Zakir. Hanya ada rakannya. Kami bersembang tentang buku.” ujar Uthman.

Aku tersenyum. Bagus Uthman ini. Dia mula minat tentang cerpen. Boleh pergi jauh.

Mulalah kami bercerita itu ini. Biasalah. Melompat kisah penulis, falsafah, Islam, harakah dan politik. Namun akan berpatah balik pada kisah penulisan.

Aku kata tentang penulisan ini tidak dapat diajarkan menurut Abdullah Hussain.

Dia kenal siapa Abdullah Hussain ini. “Aku pernah baca novel Konserto Terakhir dari awal sampai habis. Lalu aku cerita pada ibu bahawa aku mampu membaca novel. Ibu seakan terkejut dan melayan ceritaku.”

Aku ketawa. Aku sendiri terpukau membaca Konserto Terakhir. Walaupun aku lewat membaca novel itu kerana negeri aku belajar ketika itu tidak menjadikan novel Sasterawan Negara itu sebagai teks KOMSAS. Aku terbeli buku itu pun kerana dijual lelong. Tidak ingat harga tetapi bawah RM5.

Uthman telah terbit 2 buah cerpen di Majalah Tunas Cipta. Aku teruja. Tentunya dia lebih kehadapan daripada aku. Aku hanya terbit satu cerpen sahaja. Itupun dalam ebook Kumpulan Cerpen.

Esoknya sebaik tiba di Jeli, aku mesej Uthman meminta jika ada pautan untuk Majalah Tunas Cipta yang cerpennya terbit.

Dia memberi. Lalu aku membeli pdf majalah sastera itu.

Aku terus membedek pada laman cerpen Uthman. Aku membaca.

Usai membaca aku memberi kata-kata semangat kepada Uthman di whatsapp.

Aku tidak pandai mengkritik. Aku teringat kritikan aku pada cerpen Cikgu Hilmi. Ah sampai sekarang aku terasa bersalah. Lebih baik aku berdiam. Serahkan pada pakar untuk mengkritik.

“Kamu tidak baca kritikan cerpen pada edisi seterusnya?” mesej aku.

Dan betul seperti aku sangka, Uthman tidak tahu.

Selang masa, Uthman mesej dengan beberapa screenshot ulasan cerpennya.

Aku tersenyum.

Ternyata dua cerpen dia diulas baik oleh si pengkritik. Syabas.

Terus maju sahabatku.

Aku? Masih menanam harapan untuk menjadi penulis sepenuh masa.

Dan tentunya dengan menulis kembali di blog, aku ingin konsisten menulis dan melontar idea.

Recent Posts

link to Ziarah

Ziarah

Hari ini aku ziarah ke rumah pelajar aku di Tanah Merah. Bagus orangnya. Ini pun sebab dia ada update status masak ketupat palas. Di Kelatan makanan kegemaran orang Kelatan ketika raya antaranya...

link to Nasi Goreng

Nasi Goreng

Pagi ini Ahmad kata Abi boleh masak semua jenis nasi. Mama boleh masak satu jenis sahaja nasi goreng. Aku senyum sahaja sambil bersiap untuk pergi kerja. Aku sahaja buat lambat sebab masuk lambat...